i-Ceria KWSP: Ahli Parlimen Cadang Pengeluaran One-off Kali Terakhir

Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir ‘i-Ceria’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘One-off’.

Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

“Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua, tuntutan saya ini juga bukanlah menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup di hari tua.”

“Tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik COVID-19, ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya. 

Justeru, Mohd Salim berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula tuntutan rakyat iaitu pengeluaran KWSP untuk kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.  

Cadangan berkenaan turut dipersetujui beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), M. Karupaiya (PH-Padang Serai), Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat). 

Sementara itu Karupaiya dan Hasan berpendapat, kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang susulan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab cenderung menaikkan harga ketika rakyat menerima bantuan kewangan.

Hasan berkata, ini menyebabkan kuasa beli kalangan rakyat semakin berkurang walaupun mempunyai wang, oleh itu kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barangan terutama di kawasan luar bandar. 

Xavier pula berpendapat cadangan i-Ceria itu bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi negara yang memerlukan masa untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kerajaan bertanggungjawab membantu anggota Keluarga Malaysia khususnya golongan B40.

Sumber – BERNAMA menerusi Buletin TV3

KWSP Tidak Bercadang Membenarkan Pengeluaran i-Ceria

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP ketika ini tidak bercadang membenarkan pengeluaran menerusi idea i-Ceria dilontarkan Ahli Parlimen semalam.

Menurutnya lagi, tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah pun berakhir.

“Tiga skim itu sudah pun berakhir”.

“Adalah penting bukan hanya melihat kepada permintaan itu (idea i-Ceria) tetapi juga konteks utama KWSP seperti yang saya bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara.”

“Kita faham apabila kita terima desakan. Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua,” katanya ketika taklimat prestasi kewangan KWSP 2021.

Menurut beliau lagi, data pekerja dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah pun memasuki fasa pemulihan ekonomi.

“Saya harap kita tak payah keluar lagi (mengeluarkan KWSP sebelum tempoh masa bersara).”

“KWSP akan terus fokus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua pencarum.”

“Peranan kita adalah memudahkan kehidupan ahli sewaktu persaraan,” katanya.